Isu Buli MRSM: MARA cadang naik elaun guru, lantik warden pesara tentera

Susulan insiden buli di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang tular baru-baru ini, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan agar guru-guru diberi elaun tambahan sebagai insentif menangani isu disiplin pelajar.
Beliau berkata, selain mengambil tindakan tegas terhadap pelaku buli, usaha pencegahan juga perlu diperkasa dengan memperkukuh peranan guru dan warden di institusi pendidikan.
Menurutnya, beliau telah berbincang dengan Ketua Pengarah MARA mengenai pelantikan warden tetap secara kontrak, termasuk cadangan mengambil warden daripada kalangan pesara polis atau tentera.
Katanya lagi, guru-guru sedia ada juga akan diberi tanggungjawab tambahan sebagai warden dan pihaknya sedang teliti penambahan elaun bagi menghargai peranan mereka dalam menjaga kebajikan dan disiplin pelajar.
Sebelum ini, tujuh pelajar MRSM disyorkan ditamatkan pengajian kerana terlibat dalam kes buli fizikal dan bersubahat dalam insiden yang berlaku di Seberang Perai Selatan.