Isu Jalur Gemilang terbalik, AGC tegas jangan ambil tindakan sendiri

Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan sebarang kesalahan berkaitan pemasangan atau pemaparan Jalur Gemilang secara tidak wajar sehingga menimbulkan kekeliruan atau kegusaran awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Semua pihak diingatkan untuk menghormati bendera Malaysia sebagai simbol kedaulatan negara dan mematuhi undang-undang serta garis panduan penggunaan yang berkuat kuasa.
AGC turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri terhadap mana-mana pihak, termasuk menyerbu premis, menularkan maklumat peribadi, membuat tuduhan di media sosial, mencetuskan provokasi atau ugutan, mahupun mengambil alih peranan pihak berkuasa tanpa kuasa undang-undang.
Segala aduan berkaitan perlu disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh dijadual memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi malam ini berhubung program Solidariti Jalur Gemilang yang diadakan di Kepala Batas pada Khamis, selepas diminta hadir oleh pegawai penyiasat Bukit Aman.