Jadual penerbangan terganggu, lapangan terbang India-Pakistan ditutup

Beberapa buah lapangan terbang di utara India ditutup pada awal pagi Rabu berikutan konflik bersenjata yang semakin meruncing di wilayah Kashmir.
Antara lapangan terbang terlibat termasuk Dharamshala (DHM), Leh (IXL), Jammu (IXJ), Srinagar (SXR), dan Amritsar (ATQ).
Menurut kenyataan syarikat penerbangan tambang rendah India, SpiceJet, penutupan itu adalah menyeluruh, membabitkan semua penerbangan masuk, pelepasan dan sambungan. Setakat ini, belum ada makluman rasmi mengenai tempoh penutupan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat penerbangan antarabangsa Qatar Airways turut menggantung sementara semua penerbangan ke Pakistan susulan penutupan ruang udara negara itu.
Menerusi perkongsian di media sosial, syarikat itu memaklumkan sedang memantau rapat situasi keselamatan dan menegaskan bahawa keselamatan penumpang serta kakitangan kekal menjadi keutamaan utama mereka.