Jakarta hampir tenggelam? Indonesia mula bina ‘Tembok Laut Gergasi’ bernilai RM337 bilion

Indonesia bakal memulakan projek mega pembinaan Tembok Laut Gergasi bernilai RM337.68 bilion bagi menangani risiko banjir besar dan kenaikan paras laut yang mengancam kawasan pesisir utara Pulau Jawa, khususnya Jakarta.
Projek berskala besar yang tertangguh sejak hampir tiga dekad lalu ini akan merangkumi laluan sepanjang 500 kilometer dari Banten hingga Gresik.
Teluk Jakarta menjadi fokus utama fasa pertama pembinaan dengan kos mencecah RM42 bilion.
Fasa awal akan dibiayai secara bersama oleh kerajaan pusat dan wilayah Jakarta, di mana peruntukan sekitar RM4.2 bilion setahun diperuntukkan sepanjang lapan tahun akan datang.
Selain melindungi komuniti pesisir pantai, tembok laut ini dianggap langkah penting dalam strategi jangka panjang negara itu menghadapi masalah hakisan tanah dan banjir air pasang besar yang semakin meruncing.