JAKIM siasat program Ehati, didakwa pengaruh ajaran songsang

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama pihak berkuasa agama Selangor akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap program motivasi rumah tangga eHATI yang kini tular selepas dikaitkan dengan unsur ajaran sesat.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, langkah ini penting bagi memastikan maklumat diperoleh secara jelas dan tepat sebelum tindakan undang-undang diambil.
JAKIM menegaskan komitmennya untuk membendung budaya songsang serta pengaruh yang boleh memesongkan masyarakat, khususnya umat Islam di negara ini.
Dalam masa sama, umat Islam diingatkan supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan fahaman atau gaya hidup yang bertentangan dengan ajaran Islam serta adat tempatan.
Sebelum ini, media melaporkan wujud dakwaan sepasang suami isteri menggunakan program motivasi rumah tangga sebagai topeng untuk menyebarkan ajaran sesat kepada wanita bekerjaya yang menghadapi masalah rumah tangga.
Orang ramai turut digalakkan menyalurkan maklumat serta bekerjasama dengan pihak berkuasa agama jika mengesan sebarang kegiatan mencurigakan.