Malaysia
Jangan panik! Jet pejuang TUDM terbang rendah bagi latihan perbarisan

Orang ramai diminta supaya tidak panik sekiranya melihat kehadiran pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk jet pejuang yang terbang rendah di ruang udara Lembah Klang bermula hari ini hingga 26 Jun.
Menurut TUDM, latihan penerbangan taktikal sedang dijalankan sebagai persiapan menjelang Perbarisan Persaraan Panglima Tentera Udara ke-20, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman di Pangkalan Udara Subang.
Latihan melibatkan pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter itu akan merangkumi kawasan tertentu, khususnya sekitar ruang udara Subang, Selangor.
Penerbangan rendah ini adalah sebahagian daripada persediaan acara rasmi, dan orang awam dinasihatkan agar tidak panik sepanjang tempoh latihan berlangsung.