Jika mahu anak muda dibayar setimpal, semua perlu main peranan

Semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan gaji permulaan graduan pada hari ini setimpal dengan kos sara hidup yang sebenar.
Kolumnis, Mustafa Ali memaklumkan, pembuat dasar, majikan, institusi pendidikan hinggalah kepada sikap seseorang terhadap nilai kerja itu sendiri yang mendorong kepada kenaikan gaji permulaan.
Banyak faktor yang menjadikan sukar untuk gaji ini dinaikkan, antaranya kebergantungan kepada pekerja asing, kekurangan pekerjaan bergaji tinggi, serta sistem pendidikan yang belum benar-benar diselaraskan dengan keperluan pasaran kerja moden.
Tambahnya, kerajaan sedang mengambil pelbagai pendekatan yang mana antaranya dengan memberi fokus kepada pelaburan dalam industri berteknologi tinggi, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital.
Langkah seperti peningkatan gaji minimum, pemerkasaan program TVET dan latihan semula pekerja merupakan antara asas penting kepada pembentukan tenaga kerja yang lebih produktif dan kompetitif.
Impak positif juga mula kelihatan apabila buat pertama kali, gaji penengah rakyat Malaysia melepasi paras RM3,000.