JPJ yakin RXZ Members 7.0 bawa manifestasi budaya permotoran harmoni

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyambut baik sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Program RXZ Members 7.0 2025 yang dilihat mampu mengangkat budaya permotoran ke arah lebih positif.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli percaya program itu dapat menjadi manifestasi budaya permotoran yang harmoni, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan nasional.
JPJ menegaskan fokus utama penyertaan mereka ialah memberi penekanan kepada aspek keselamatan jalan raya, advokasi, dan pematuhan undang-undang agar acara berjalan lancar dan selamat.
Seiring dengan Bulan Kebangsaan, JPJ turut mengajak peserta mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kecintaan kepada tanah air.
Sebagai menyokong agenda keselamatan, sebanyak 3,000 topi keledar akan diagihkan secara percuma menerusi Program Pertukaran Topi Keledar.
Program tahunan itu menghimpunkan peminat motosikal dari seluruh negara, selain menjadi platform memupuk semangat kebersamaan, menggerakkan ekonomi setempat, serta memperkukuh silaturahim dalam kalangan penggiat permotoran.