Jumlah remaja bawah 18 tahun hamil naik kepada 2,752

Kes remaja hamil bawah usia 18 tahun meningkat sebanyak 0.5 peratus kepada 2,752 kes pada tahun lalu berbanding 2,737 kes pada 2023.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula merekodkan 655 kes remaja hamil bawah 18 tahun.
Sarawak mencatatkan jumlah kes tertinggi bagi kedua-dua tahun tersebut, diikuti oleh Sabah dan Pahang.
Antara punca utama kehamilan remaja di Malaysia ialah kekurangan akses kepada pendidikan kesihatan reproduktif yang menyeluruh.
Noraini berkata, Jurnal Psikologi Malaysia pada tahun 2020 menyenaraikan beberapa faktor lain seperti tekanan rakan sebaya dan pengaruh media khususnya pendedahan kepada kandungan seksual secara terbuka.
Katanya, ini boleh membentuk norma serta persepsi yang mendorong remaja untuk mencuba atau bereksperimen.
Untuk itu, kementeriannya menyeru pelbagai agensi untuk berganding bahu secara kolaboratif dalam memperkukuh dan memperluas inisiatif yang bersifat holistik, demi mencapai impak positif kepada kesejahteraan remaja di Malaysia.