Jutawan China kini pilih Malaysia untuk beli hartanah, atasi Britain dan AS

Golongan jutawan dan bilionair dari China kini semakin berminat membeli hartanah di Malaysia, khususnya bagi menikmati gaya hidup lebih berkualiti dan sebagai pelaburan masa depan.
Menurut data firma penyelidikan hartanah antarabangsa, Juwai IQI, Malaysia kini menduduki tangga keempat dalam senarai destinasi pilihan pembelian hartanah mewah oleh pembeli China pada tahun 2024 mengatasi negara-negara seperti Britain, Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari, berkata trend itu menunjukkan perubahan ketara apabila negara-negara Barat seperti AS dan UK tidak lagi menjadi keutamaan,
Ia sebaliknya diganti oleh negara Asia Tenggara termasuk Thailand yang menduduki tempat pertama dan Malaysia.
Tambahnya, 94 peratus pembeli China kini mencari rumah untuk kegunaan sendiri atau ahli keluarga, bukan semata-mata untuk pelaburan, manakala hanya tiga peratus menyatakan faktor penghijrahan sebagai motivasi pembelian.
Selain rumah percutian dan pelaburan pendidikan, kedekatan dengan sekolah antarabangsa juga menjadi faktor penting, menjadikan kawasan berhampiran sekolah elit sebagai lokasi strategik yang semakin dicari.