‘Kampung’ Rohingya di Seri Kembangan digempur, 494 warga asing ditahan

Sebuah operasi bersepadu di pangsapuri Putra Permai Selesa, Seri Kembangan membongkar ‘kampung’ pendatang asing apabila seramai 494 warga asing, termasuk bayi dua bulan, ditahan malam tadi.
Dalam serbuan bermula jam 9.45 malam yang diketuai Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor bersama 217 anggota pelbagai agensi, seramai 741 warga asing diperiksa, dengan tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Ada antara mereka cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung dan kesemua yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.
Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha turut menasihatkan majikan supaya tidak mengambil atau melindungi pendatang tanpa izin (PATI) kerana boleh dikenakan tindakan tegas.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, melanggar syarat pas, serta penggunaan kad pengenalan palsu.
Beliau menggesa warga asing yang melakukan kesalahan imigresen supaya mengambil peluang pulang secara sukarela melalui Program Repatriasi Migran 2.0 yang sedang berjalan sehingga April 2026.