Kanak-kanak cedera digigit anjing ketika pulang dari taman permainan di Puchong

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera di betis kiri selepas diserang seekor anjing ketika berjalan pulang bersama neneknya dari taman permainan di Lake Edge Puchong, pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, anjing jenis kacukan German Shepherd dipercayai terlepas dari rumah pemiliknya sebelum menyerang mangsa secara tiba-tiba.
Susulan kejadian, polis menahan seorang wanita berusia 60 tahun yang merupakan pemilik anjing tersebut bagi membantu siasatan.
Pemeriksaan mendapati wanita berkenaan tidak memiliki lesen anjing yang sah daripada pihak berkuasa tempatan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan atas kesalahan kecuaian berkaitan haiwan, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.