Kanak-kanak Tercekik Gula-Gula ‘Gummy’ Meninggal Dunia

GEORGE TOWN – Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, yang kritikal selepas tercekik gula-gula ‘gummy’ di sekolah Selasa lalu, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 11 malam tadi.
Menurut ibu saudaranya, jenazah akan dibawa pulang ke rumah neneknya di Permatang Binjai, Penaga, dan dikebumikan pagi esok.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang di sebuah sekolah di Sungai Dua, Fahmi rebah selepas dipercayai tercekik gula-gula yang dibeli di luar sekolah. Petugas kesihatan berjaya mengeluarkan gula-gula itu dan memberi bantuan pernafasan, namun dia kekal tidak sedarkan diri.
Mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya sebelum dipindahkan ke HPP. Semasa rawatan, pihak hospital menemui sebiji lagi gula-gula dalam poket bajunya.
Bapanya, Mohamad Fakhruddin, memaklumkan sebelum ini bahawa anak sulungnya berada dalam keadaan kritikal dan bergantung sepenuhnya kepada oksigen untuk bernafas.