Kawasan perkuburan bukan tempat cari keberkatan atau populariti – Mohd Na’im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, mengingatkan umat Islam supaya menjaga adab terhadap jenazah, menghormati kawasan perkuburan dan tidak menjadikannya tempat mencari keberkatan atau populariti.
Beliau menegaskan, umat Islam digalakkan menziarahi kubur untuk mengingati mati, menambah keinsafan dan mendoakan kesejahteraan roh si mati, bukannya melakukan amalan yang boleh membawa kepada syirik atau khurafat.
Beliau merujuk tindakan segelintir individu yang mengambil tanah dari pusara Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman kononnya untuk mendapat berkat, yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Perbuatan seperti ini, jika disertai keyakinan tanah tersebut membawa keberkatan atau kuasa tertentu, boleh menjejaskan akidah.
Mohd Na’im turut menyokong tindakan keluarga Allahyarhamah yang tegas namun berhemah menangani isu ini serta usaha pihak berkuasa agama memantau kawasan perkuburan.
Terdahulu, keluarga terpaksa memasang tali penghadang di kubur Allahyarhamah di Kampung Gong Pasir, Terengganu selepas beberapa individu melakukan perbuatan syirik di kawasan tersebut.