KDEB Waste Management selesaikan lebih 13,000 saman

KDEB Waste Management (KDEBWM), syarikat pengurusan sisa pepejal terbesar di Malaysia, memulakan tindakan menyelesaikan saman tertunggak selepas mencatatkan jumlah tertinggi dalam senarai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu sebanyak 22,017 saman.
Syarikat itu menjelaskan bahawa skala operasi besar dengan lebih 1,500 kenderaan yang beroperasi setiap hari di seluruh Selangor termasuk pada hujung minggu dan cuti umum menyumbang kepada jumlah saman yang tinggi.
Dalam konteks ini, hanya dua saman sehari bagi sebuah lori boleh menghasilkan kira-kira 3,000 saman sebulan jika melibatkan ratusan kenderaan aktif.
Sebahagian besar kenderaan KDEBWM dikendalikan oleh subkontraktor rasmi, dan syarikat mengakui terdapat kelemahan dalam penyampaian notifikasi saman daripada pihak subkontraktor, menyebabkan kelewatan pembayaran.
Bagaimanapun, sebaik sahaja menerima notis rasmi daripada JPJ, KDEBWM mengambil tindakan segera dengan menyemak secara dalaman dan melunaskan saman secara berperingkat. Setakat ini, lebih 13,000 saman telah berjaya diselesaikan.