Kebakaran besar Lapangan Terbang Heathrow jejaskan ratusan penerbangan

Lapangan Terbang Heathrow terpaksa ditutup selepas kebakaran di sebuah stesen janakuasa elektrik yang membekalkan tenaga ke kemudahan itu, menyebabkan gangguan besar kepada penerbangan.
Jabatan Bomba London mengerahkan 70 anggota bagi memadam kebakaran di barat London, namun punca kejadian masih belum diketahui.
Akibatnya, bekalan elektrik terputus secara besar-besaran di lapangan terbang paling sibuk di Eropah itu.
Menurut FlightRadar24, sekurang-kurangnya 120 penerbangan yang dijadualkan mendarat di Heathrow terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang lain, termasuk Gatwick, Paris, dan Shannon, Ireland.
Pengurusan Heathrow mengumumkan penutupan akan berkuat kuasa hingga 11.59 malam, 21 Mac, bagi memastikan keselamatan penumpang dan kakitangan.
Penutupan itu dijangka menyebabkan gangguan besar terhadap jadual penerbangan dan perjalanan penumpang di seluruh dunia.