Kecewa jadi mangsa siber buli, kisah silam hantui diri Kabali

Selepas menjalani hukuman penjara selama lapan bulan kerana membuli selebriti media sosial Asha a/l Rajeshwari, Kabali atau nama sebenarnya Sathish Kumar, kini berdepan episod baru yang lebih memeritkan dengan menjadi mangsa buli siber pula.
Pada usia 45 tahun, bapa kepada tiga anak itu sedang berusaha membina semula kehidupan sebagai individu yang insaf.
Namun, percubaan untuk hidup normal sering terganggu apabila terus diserang, dihina dan dikecam netizen yang masih tidak mampu melupakan kesilapan silamnya.
Lebih membebankan, gangguan yang berlarutan itu turut memberi tekanan kepada ahli keluarganya. Kabali kini bukan sahaja membawa beban kesalahan lampau, malah terpaksa menahan cemuhan yang terus menghantui setiap langkahnya.
Keadaan yang semakin memburuk mendorongnya membuat laporan polis dan mendapatkan sokongan pihak berwajib, termasuk bertemu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, bagi membela diri serta mempertahankan maruah keluarganya.
Kabali mengakui kesilapannya dan telah membayar harga yang sepatutnya. Namun apa yang berlaku kini seolah-olah meletakkannya dalam sebuah lagi penjara dengan hukuman tanpa henti oleh masyarakat, meskipun dia sudah cuba berubah.
Dia pada masa sama berharap rakyat tidak terus menghukumnya kerana apa yang dilalui olehnya sejak keluar dari palang besi sudah cukup memeritkan apatah lagi dirinya sendiri telah Insaf dari kesilapan yang lepas.