Kekejaman Israel korbankan lagi 144 rakyat Palestin dalam 24 jam

Serangan kejam berterusan oleh tentera Israel di seluruh Semenanjung Gaza meragut sekurang-kurangnya 144 nyawa rakyat Palestin dalam tempoh 24 jam, termasuk 33 mangsa dalam serangan terbaharu.
Antara kejadian paling tragis, 11 orang awam terbunuh apabila tentera Zionis melepaskan roket dan tembakan ke arah ribuan penduduk yang sedang beratur untuk mendapatkan makanan di tengah Gaza.
Menurut pertahanan awam Palestin, tindakan itu menyasarkan orang tidak bersenjata yang sedang mencari makanan untuk meneruskan hidup dalam situasi kebuluran.
Lebih menyayat hati, 14 nyawa terkorban apabila tentera Israel menyerang orang awam yang sedang menunggu trak bantuan di Jalan Salahuddin, laluan utama kemanusiaan di wilayah itu.
Tentera Israel mendakwa melepaskan ‘tembakan amaran’ ke arah kumpulan yang dianggap mencurigakan, namun menafikan menyedari sebarang kecederaan meskipun ratusan sudah terbunuh akibat serangan mereka.
Sejak bantuan makanan mula dihantar semula akhir Mei, lebih 397 rakyat Palestin terbunuh semasa cuba mendapatkan bantuan, manakala lebih 3,000 lagi cedera.