Kekejaman serangan di Pahalgam tidak boleh diterima – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaharu di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, menyifatkan ia sebagai serangan yang dirancang dan tidak berperikemanusiaan.
Anwar memetik laporan bahawa mangsa sengaja diasingkan sebelum dibunuh dan kekejaman itu tidak boleh diterima serta tiada tempat dalam mana-mana masyarakat bertamadun.
Anwar berkata ketika saat-saat tragedi ini, kebijaksanaan dan kesabaran adalah penting dan tindakan keganasan yang boleh menyebabkan perpecahan ini tidak boleh dibiarkan.
Perdana Menteri turut menyeru komuniti antarabangsa untuk menyokong usaha mengenal pasti dan mendakwa pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan terbabit.
Sekurang-kurangnya 26 orang terbunuh apabila lelaki bersenjata tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah pelancong di Kashmir pada Selasa, memaksa Perdana Menteri India Narendra Modi memendekkan lawatannya ke Arab Saudi.