Kelantan Catat Jumlah Penagih Dadah Tertinggi pada 2024

PETALING JAYA:
Kelantan mencatat jumlah penagih dadah tertinggi pada tahun 2024, menurut Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, beliau berkata statistik ini berdasarkan data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dikumpul daripada pihak polis, Kementerian Kesihatan dan pusat pemulihan swasta.
“Dari segi kes ketagihan dan penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk, lima negeri tertinggi ialah Kelantan dengan 1,130 kes, diikuti Terengganu (974), Perlis (965), Kedah (898), Pulau Pinang (803) dan Sarawak (425),” katanya.
Saifuddin menjawab soalan Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang meminta statistik penyalahgunaan dadah mengikut negeri.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 192,857 kes ketagihan dan penyalahgunaan dadah direkodkan tahun lalu.
“Kes ketagihan dan penyalahgunaan dadah paling tinggi melibatkan kaum Melayu dengan 145,877 kes, diikuti kaum India (14,935), Cina (14,861), bumiputera Sabah (9,322), bumiputera Sarawak (5,530) dan kaum lain (2,322),” katanya.