Kematian pelajar universiti: Pensyarah, rakan serumah antara direkod percakapan

Polis selesai merakam percakapan 14 individu termasuk rakan serumah dan pensyarah bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi sebuah universiti swasta di Cyberjaya.
Beberapa saksi lain turut akan dipanggil dalam masa terdekat, manakala pihak berkuasa sedang mendapatkan pengesahan transaksi kad ATM milik mangsa yang digunakan selepas kematiannya.
Mangsa, Maniishapriet Kaur Akhar, 20, berasal dari Kuching, Sarawak, ditemui mati di bilik asrama pada pagi Khamis lalu.
Ketika kejadian, dia tinggal bersendirian selepas lima rakan sebiliknya pulang bercuti sejak 21 Jun, dan dijadualkan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh oleh individu yang dikenalinya. Bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat hentakan objek tumpul di kepala. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.