Kemenangan Nurul Izzah atau Rafizi hanya simbol kosmetik perubahan

Pemilihan Timbalan Presiden PKR yang bakal berlangsung kelihatan seperti usaha menghidupkan semula semangat reformasi yang telah lama layu.
Menurut Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan, Naib Ketua Bersekutu Malaysia, baik kem Nurul Izzah mahupun Rafizi Ramli, kedua-duanya hanya menonjolkan imej sebagai reformis sebenar.
Namun realitinya, Rafizi sebagai Menteri Ekonomi dan Izzah sebagai Penasihat Kanan Menteri Kewangan gagal menunjukkan hasil yang meyakinkan dan prestasi mereka amat mengecewakan.
Paling mengecewakan, kata beliau, adalah nasib masyarakat India yang terus terpinggir yang mana ketika Melayu kekal bersama UMNO dan Cina memilih DAP, kaum India sanggup tinggalkan MIC demi idealisme reformasi.
Tapi selepas Anwar menjadi Perdana Menteri, tiada apa-apa pun untuk masyarakat India malah, taraf kehidupan masyarakat India semakin merosot dengan kadar pengangguran tinggi, gaji rendah, dan ketiadaan sokongan sosial yang efektif.
Dalam bidang pendidikan pula, ramai pelajar cemerlang India gagal mendapat tempat dan biasiswa di universiti awam kerana tiadanya dasar yang telus dan menyeluruh.
Beliau turut mengkritik ketiadaan pelan pembangunan sosial untuk kaum India, berbeza dengan komuniti lain yang diberikan peruntukan khas.
Beliau menyeru agar masyarakat India sedar dan berani meninggalkan PKR yang menurutnya hanya meminjam suara mereka ketika pilihan raya, namun terus membisukan penderitaan mereka selepas berkuasa.