“Kemenangan politik lebih penting haji, umrah” – Jakim siasat kenyataan Hadi Awang

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menyemak kenyataan seorang pemimpin politik yang mendakwa kemenangan politik Islam lebih utama daripada menunaikan ibadah haji atau umrah.
Meskipun tidak menamakan individu tersebut, kenyataan dikeluarkan susulan ucapan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika ceramah PRK Ayer Kuning yang mencadangkan umat Islam menangguhkan hasrat ke tanah suci demi memberi keutamaan kepada politik.
Jakim memaklumkan, tindakan lanjut akan dibincangkan bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak berautoriti lain bagi mengelak kekeliruan terhadap kefahaman syarak.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Na’im Mokhtar susulan itu mengingatkan semua pihak agar tidak terburu-buru mengeluarkan pandangan peribadi hukum menunaikan ibadah haji semasa musim pilihan raya berbanding tanggungjawab mengundi.
Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menggesa tindakan diambil terhadap kenyataan tersebut yang disifatkan sebagai bercanggah dengan prinsip Islam dan bermotifkan politik.