
Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) terus komited dalam membangunkan keusahawanan tempatan selain menekankan kepentingan francais dalam sektor perkhidmatan, terutamanya dalam menghadapi cabaran negara sebagai sebuah masyarakat yang semakin menua.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah, dengan melihat kepada tempoh lima tahun akan datang, peningkatan populasi warga emas akan menjadi salah satu isu utama dan perkara itu boleh ditangani dengan tawaran francais yang relevan.
Oleh itu, PERNAS melihat keperluan untuk membangunkan perkhidmatan khusus yang dapat membantu golongan ini, seperti perkhidmatan penghantaran barangan runcit atau sokongan harian bagi mereka yang tinggal sendirian di rumah.
Jelasnya, walaupun kelihatan mudah, perkhidmatan seperti ini berpotensi untuk dijadikan model francais yang mampan dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.
Tidak hanya memberi tumpuan kepada jenama francais besar dari luar negara, tetapi pihaknya juga menyokong usahawan kecil-kecilan yang berpotensi untuk berkembang pesat dalam ekosistem francais.
Salah satu contoh kejayaan yang diketengahkan ialah Pasta Port di Pulau Pinang, yang kini mempunyai lapan cawangan walaupun modal permulaan perniagaan ini tidak melebihi RM50,000.
Begitu juga dengan jenama tempatan lain seperti Kopi Saigon dan Apam Balik Kuhot, yang masing-masing hanya memerlukan modal sekitar RM20,000 dan RM30,000 untuk membuka kiosk perniagaan.
Dengan kos rendah dan model perniagaan yang mudah dilaksanakan, PERNAS melihat potensi besar untuk mempercepatkan pertumbuhan perniagaan seperti ini menerusi sistem francais.
Dengan usaha berterusan dalam membangunkan usahawan tempatan dan memperluaskan sistem francais dalam pelbagai sektor, PERNAS terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan keusahawanan di Malaysia.