Keputusan AGC tidak dakwa Zamri Vinoth, Firdaus Wong dikritik Vigneswaran

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran melahirkan kebimbangan terhadap keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) yang tidak mendakwa Zamri Vinoth dan Firdaus Wong, walaupun hampir 900 laporan polis dibuat berkaitan kenyataan menyentuh sensitiviti agama.
Menurut Vigneswaran, keputusan ini menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan dan konsistensi penguatkuasaan undang-undang, terutama dalam kes yang melibatkan kenyataan berunsur hasutan dan fitnah terhadap agama minoriti.
Katanya, keputusan AGC diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said atas alasan kekurangan bukti menimbulkan persoalan terhadap integriti dan ketelusan sistem perundangan negara.
MIC berpendapat kenyataan itu bersifat hasutan, menyemai kebencian dan berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat majmuk.
Parti itu menegaskan prinsip 3R (kaum, agama dan institusi diraja) tidak boleh digunakan secara terpilih hanya untuk melindungi satu pihak sahaja.
Pendekatan dwi-standard, katanya, bukan sahaja melanggar semangat Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan, tetapi juga boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan.
Parti itu turut menggesa AGC dan pihak berkuasa untuk memberi penjelasan dan memastikan undang-undang dilaksanakan secara adil, saksama dan menyeluruh, tanpa mengira kaum atau agama.