“Kerajaan bukan ‘gembira’ tapi lindungi ekonomi” – Zafrul bidas dakwaan Tun M

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz membidas dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan terlalu ‘gembira’ dengan perjanjian perdagangan bersama Amerika Syarikat (AS).
Menurut Zafrul, langkah yang diambil bukan soal kegembiraan, tetapi keputusan pengurusan krisis untuk melindungi lebih RM198 bilion nilai eksport dan 100,000 pekerjaan, terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Rundingan itu juga berjaya memastikan Malaysia tidak dikenakan tarif AS 25%, sebaliknya menerima kadar 19% seperti negara ASEAN lain.
Zafrul turut menafikan dakwaan kononnya Malaysia memansuhkan 100% cukai ke atas 11,000 produk AS, dengan menjelaskan hanya 60.4% baris tarif dikenakan duti sifar, dan bukannya keseluruhan seperti yang didakwa.
Beliau juga menyangkal tuduhan bahawa Malaysia bersetuju membekalkan nadir bumi secara eksklusif kepada AS, dan menegaskan tiada perjanjian seperti itu.
Malah, sejak 1 Januari 2024, kerajaan telah mengenakan larangan eksport nadir bumi mentah bagi memastikan pemprosesan dilakukan dalam negara dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Zafrul menekankan bahawa industri nadir bumi dijangka menyumbang hingga RM9.5 bilion kepada KDNK menjelang 2025.
Beliau juga mengingatkan supaya kritikan terhadap dasar kerajaan dibuat berdasarkan fakta yang sahih, bukan andaian atau tuduhan tidak berasas.