Kerajaan Pinda Akta Perhimpunan Aman – PM

KUALA LUMPUR:
Kerajaan bersetuju meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi memudahkan orang ramai mengadakan perhimpunan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Antara perubahan utama ialah pemansuhan Seksyen 11, yang sebelum ini mewajibkan penganjur mendapatkan kebenaran pemilik premis. Penganjur kini hanya perlu memberi notis kepada polis lima hari lebih awal.
Susulan itu, semua siasatan terhadap perhimpunan termasuk Himpunan Rakyat Benci Rasuah akan dihentikan, dan tiada tindakan lanjut akan diambil, kata Anwar di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, perhimpunan yang melibatkan senjata atau kanak-kanak masih dilarang.
Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai lokasi perhimpunan, Anwar berkata penganjur bebas memilih tempat kecuali di kawasan sensitif seperti perkarangan istana.
Beliau juga menegaskan kebebasan bersuara dihormati, tetapi tuduhan palsu semasa perhimpunan akan ditangani mengikut undang-undang.