Kerajaan sediakan latihan simulasi untuk rakyat hadapi gempa bumi

Kerajaan akan melaksanakan latihan simulasi bencana berasaskan komuniti di seluruh negara mulai Oktober bagi meningkatkan kesiapsiagaan rakyat menghadapi gempa bumi dan bencana lain.
Program anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dengan kerjasama beberapa agensi teknikal itu akan melibatkan komuniti setempat termasuk sekolah, pemimpin tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.
Latihan akan dijalankan di peringkat daerah, parlimen atau kampung mengikut keperluan kawasan masing-masing.
Inisiatif ini pernah dilaksanakan di Sabah sebelum ini dan terbukti berkesan apabila komuniti yang terlibat bersedia menghadapi insiden sebenar.
Bermula tahun ini, Oktober turut diisytiharkan sebagai Bulan Kesiapsiagaan Nasional, yang sebelum ini hanya memberi fokus kepada banjir tetapi kini diperluas kepada senario gempa bumi dan tanah runtuh.