Malaysia

Kerja ganti paip kumbahan 30 meter dari lokasi letupan disahkan – KP Selangor

Polis Selangor mengesahkan wujudnya aktiviti pengorekan tanah tidak jauh dari lokasi letupan saluran paip gas yang menggemparkan Putra Heights baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Hussein Omar Khan, kerja-kerja penggalian tersebut dilakukan bagi menggantikan paip kumbahan lama dan berlaku hanya kira-kira 30 meter dari titik letupan.

Katanya, pihak polis telah mengenal pasti pemaju, kontraktor, dan semua pekerja yang terlibat dalam projek itu, termasuk penggunaan dua jentera berat – sebuah backhoe dan sebuah excavator.

Hasil siasatan awal mendapati salah satu jentera iaitu excavator, ditemui terbenam dalam lubang besar yang tercipta akibat letupan tersebut.

“Kerja pengorekan dihentikan pada 30 Mac lalu, namun kini kita sedang menyiasat sama ada aktiviti tersebut boleh menjadi pencetus kepada letupan berkenaan,” jelas Hussein.

Beliau turut menegaskan, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mencari bukti fizikal lain di tapak kejadian, termasuk kemungkinan wujudnya faktor-faktor lain yang menyumbang kepada insiden letupan paip gas itu.

“Sama ada kerja-kerja atas tanah itu ada kaitan langsung dengan letupan, kita hanya dapat rumuskan selepas siasatan menyeluruh selesai,” tambah beliau.

Insiden letupan ini bukan sahaja mengejutkan penduduk sekitar, tetapi juga mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial.

Namun pihak polis memberi jaminan bahawa siasatan sedang dilakukan secara telus dan menyeluruh bagi memastikan punca sebenar dikenal pasti dan tindakan sewajarnya diambil.

Polis turut menerima laporan mengenai seorang mangsa yang dikatakan terjun ke dalam Sungai Klang, yang terletak kira-kira 50 meter dari kawasan kampung terjejas.

Pasukan marin telah menjalankan pencarian menyeluruh dari muara Sungai Klang hingga ke lokasi kejadian, namun setakat ini tiada penemuan mayat atau petunjuk baharu.

Pemeriksaan permukaan kawah letupan serta rumah-rumah di sekitar juga tidak menemui sebarang mayat atau individu yang hilang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker