Kerja ‘perform’ belum tentu selamat, HR kini guna AI tentukan naik pangkat atau buang pekerja Kajian

Tidak kira komited macam mana sekalipun seseorang bekerja, ia belum menjamin kedudukan selamat hari ini.
Ia kerana semakin ramai pengurus sumber manusia (HR) menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membuat keputusan penting termasuk naik pangkat, kenaikan gaji dan paling membimbangkan, menentukan siapa yang akan diberhentikan.
Satu tinjauan melibatkan 1,342 pengurus HR oleh ResumeBuilder.com mendapati 60% menggunakan alat AI seperti ChatGPT untuk membantu dalam proses pemberhentian pekerja, manakala 66% bergantung padanya sepanjang proses itu.
Lebih mengejutkan, satu daripada lima pengurus HR membenarkan AI membuat keputusan akhir tentang siapa yang patut dibuang kerja tanpa sebarang semakan manusia.
Kajian sama turut mendedahkan 78% pengurus HR menggunakan chatbot AI untuk memutuskan kenaikan gaji, 77% menilai kelayakan kenaikan pangkat menerusi AI, dan hampir separuh pula ditanya sama ada AI boleh menggantikan pekerja bawahan mereka.
Kebergantungan kepada algoritma yang tidak memahami konteks peribadi atau implikasi sosial ini menimbulkan kebimbangan etika serius, memandangkan keputusan yang memberi kesan besar kepada kerjaya dan kehidupan manusia kini semakin diserahkan bulat-bulat kepada sistem berat sebelah tanpa akauntabiliti.