“Kerjasama PN-BN? Ia ibarat mimpi di siang hari” – Ahmad Zahid

Cadangan Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi pembentukan kerajaan negeri Perak disifatkan sebagai “mimpi di siang hari”.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu sepatutnya dilakukan lebih awal selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), dan bukan dibangkitkan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Katanya, baguslah kalau cadangan kerjasama itu dibuat lebih awal. Tapi kalau pada PRK ini baru ada cadangan seperti tu, ia sudah diibaratkan sebagai mimpi pada siang hari.
Beliau mengulas dakwaan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa ahli UMNO lebih cenderung bekerjasama dengan PN berbanding DAP dalam kempennya di Ayer Kuning.
Ahmad Zahid berkata, kenyataan itu hanyalah cubaan mengulangi isu lapuk yang tidak relevan dengan keperluan pengundi tempatan.