Kerugian RM573.7 juta akibat kes penipuan dalam talian setakat Mac

Tiga bulan pertama tahun ini menyaksikan kenaikan kes penipuan dalam talian yang mendadak di negara dengan sejumlah 12,110 kes dilaporkan.
Penipuan yang melibatkan kerugian mencecah RM573.7 juta itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa mendedahkan, peningkatan kes ini berkait rapat dengan penggunaan platform digital yang semakin meluas.
Ia terutama menjelang musim perayaan dengan jenayah melibatkan e-dagang mencatatkan peningkatan tertinggi dalam tempoh ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa perkembangan teknologi seperti laman web tiruan, identiti palsu, chatbot, dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) termasuk teknologi ‘deepfake’ telah dimanipulasi penjenayah untuk memperdaya mangsa.
PDRM juga menggalakkan orang awam menggunakan portal rasmi seperti SemakMule untuk mendapatkan maklumat sahih dan mengelak menjadi mangsa penipuan.