Kes HFMD naik mendadak di Pulau Pinang selepas cuti Aidilfitri

Pergerakan dan aktiviti sempena sambutan Aidilfitri yang lepas mendorong kepada kenaikan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang.
Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, 579 kes baharu dicatat pada Minggu Epidemiologi ke-15 iaitu 6 hingga 12 April, 156.2 peratus lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya.
Dalam tempoh tersebut, sebanyak empat kluster baharu turut dilaporkan dan semua kes yang direkodkan hanya menunjukkan gejala ringan serta menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Tambah beliau, sehingga 12 April, sebanyak 4,585 kes kumulatif HFMD dilaporkan di Pulau Pinang bagi tahun ini, berbanding hanya 879 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Sebagai langkah susulan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan menjalankan analisis keberkesanan terhadap operasi sedia ada dalam mengekang penularan penyakit ini.