Kesesakan di Hospital Sungai Buloh satu perkara biasa – KKM

Orang ramai yang mendapatkan rawatan di Klinik Pakar Ortopedik Hospital Sungai Buloh pada hujung minggu lalu terpaksa menunggu lama apabila lebih 150 pesakit hadir dalam satu hari.
Gambar kesesakan di ruang menunggu klinik tersebut yang tular di media sosial mencetuskan pelbagai reaksi, malah ada yang mendakwa jumlah kehadiran melebihi 300 orang.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan angka tersebut termasuk ahli keluarga dan penjaga yang menemani pesakit, satu situasi yang biasa dilihat di fasiliti kesihatan awam, terutama bagi warga emas dan kanak-kanak.
Pada hari kejadian, seramai 158 pesakit telah dirawat oleh tiga pakar bersama tiga pegawai perubatan yang bertugas mengikut jadual sedia ada.
KKM mengakui beban kes yang tinggi di hospital rujukan seperti Hospital Sungai Buloh menjadi cabaran utama, dan menegaskan pelbagai langkah penambahbaikan sedang dijalankan untuk memperbaiki aliran pesakit serta mengurangkan masa menunggu.