Kesilapan bendera lagi – Syarikat Singapura di ekspo bayi KL mohon maaf

PETALING JAYA – Sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura tampil memohon maaf selepas menyiarkan video yang memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit, menjadikannya insiden ketiga seumpama itu dalam tempoh seminggu.
Singapore Lactation Bakes, yang mengambil bahagian dalam Ekspo Bayi TCE di Mid Valley, Kuala Lumpur, berkata pihaknya amat kesal dan mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan itu.
“Kami benar-benar memohon maaf atas kekhilafan ini. Kami sedar bendera Malaysia melambangkan identiti, warisan dan perpaduan negara,” katanya dalam kenyataan.
Penganjur ekspo, TCE Baby Expo, memaklumkan bahawa gerai pempamer berkenaan telah ditutup serta-merta selepas isu terbabit timbul dan siasatan dalaman sedang dijalankan.
“Kami mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Kami faham isu ini amat sensitif dan menyinggung ramai pihak. Walaupun kandungan itu datang dari pempamer, kami memandang serius perkara ini,” katanya.
Sebelum ini, akhbar Sin Chew Daily turut disiasat selepas menerbitkan grafik Jalur Gemilang tanpa bulan sabit. Ketua editor dan timbalan ketua editor telah digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Akhbar Kwong Wah Yit Poh juga sedang disiasat berhubung hantaran di Facebook yang memaparkan bendera Malaysia dalam bentuk yang sama.