Ketegangan Pakistan-India mampu jejas 30% bekalan beras ke Malaysia

Konflik bersenjata di antara India dan Pakistan, dua negara pengeksport utama beras boleh menjejaskan bekalan makanan ruji itu ke Malaysia.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kedua-dua negara itu membekalkan hampir 30 peratus keperluan beras negara, termasuk beras putih dan Basmathi.
Jelasnya, Malaysia turut bergantung kepada kestabilan politik serta ekonomi mereka demi memastikan bekalan makanan dalam negara terjamin.
Bagaimanapun katanya, bekalan masih stabil dan Malaysia tidak boleh leka sambil berharap agar kedua-dua negara itu tidak meneruskan peperangan.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berkata ketegangan antara India dan Pakistan kini berada pada tahap tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.
Kedua-dua negara berjiran itu menempatkan angkatan tentera masing-masing dalam keadaan berjaga-jaga selepas saling menuding jari berhubung serangan pengganas baru-baru ini di Kashmir yang ditadbir India.