Kira-kira 1,600 peguam, NGO berarak di Putrajaya tuntut empat perkara dalam memorandum

Kira-kira 1,600 peguam bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyertai Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, bagi menyerahkan memorandum yang mengandungi empat tuntutan utama kepada kerajaan.
Perarakan sejauh 2.6 kilometer itu bermula sekitar jam 2.30 petang sebelum tiba di Pejabat Perdana Menteri kira-kira 40 minit kemudian.
Memorandum berkenaan diterima oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman, bagi pihak Perdana Menteri.
Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata, antara perkara paling membimbangkan ialah kekosongan jawatan dalam badan kehakiman yang berlarutan sehingga menjejaskan kelancaran proses mahkamah, dengan ada kes dilaporkan hanya akan dibicarakan pada tahun 2030.
Mohamad Ezri menegaskan bahawa tiada garis masa ditetapkan kepada kerajaan untuk memenuhi tuntutan tersebut, namun Majlis Peguam akan membawa beberapa usul dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 26 Julai ini sekiranya tiada tindakan diambil.