KL kini bandar pelajar ke-12 terbaik dunia, atasi Beijing dan Hong Kong

Kuala Lumpur kini diiktiraf sebagai bandar pelajar ke-12 terbaik dunia dalam laporan QS Best Student Cities 2026, sekaligus menjadi bandar kedua terbaik di Asia Tenggara selepas Singapura yang berada di tempat ke-11.
Ini adalah kali pertama ibu negara Malaysia tersenarai dalam kelompok 20 teratas sejak penarafan tersebut diperkenalkan pada 2014.
Di peringkat Asia, Kuala Lumpur menduduki tempat keempat, mengatasi bandar utama lain seperti Beijing (13), Taipei (14), dan Hong Kong (17).
Senarai ini menilai bandar-bandar yang mempunyai sekurang-kurangnya dua universiti tersenarai dalam QS World University Rankings dan penduduk melebihi 250,000, berdasarkan enam kategori iaitu daya tarikan, kemampuan, kerencaman pelajar, aktiviti majikan, kedudukan universiti, dan suara pelajar.
Prestasi terbaik KL dicatatkan dalam kategori universiti dan kerencaman pelajar, manakala skor terlemah dicatat dalam kategori daya tarikan dan kemampuan.
Di peringkat global, Seoul muncul bandar pelajar terbaik dunia, diikuti Tokyo dan London.