Komitmen perkasa komuniti India turut disokong Nurul Izzah – Shanmugam

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Perdana Menteri, Shanmugam Mookan mendedahkan komitmennya dalam memperkasa komuniti India sejak menyertai Pejabat Perdana Menteri pada 2023.
Dalam satu kenyataan media, Shanmugam berkata perjuangannya itu didorong aspirasi Perdana Menteri serta kerjasama erat bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, yang disifatkannya sebagai tokoh Reformasi berprinsip dan komited.
Menurutnya, beliau dan Nurul Izzah telah merangka pelan dua fasa untuk memulihkan kepercayaan dan membuka ruang pembangunan semula buat masyarakat India, termasuk melalui sesi libat urus bersama wakil rakyat, NGO, belia dan akademik.
Katanya, daripada situ wujudnya idea membentuk Pelan Tindakan Komuniti India, yang kini sedang dikaji untuk dicadangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Shanmugam turut memaklumkan beberapa sekolah Tamil yang sebelum ini dikategorikan sebagai “projek sakit” kini dalam proses pemulihan hasil sokongan penuh Nurul Izzah, termasuk penubuhan Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil yang bertanggungjawab menyelaras pembangunan pendidikan Tamil secara menyeluruh.
Katanya, hasil usaha tersebut, Perdana Menteri meluluskan peruntukan RM30 juta bagi menaik taraf enam sekolah Tamil, dan pelaksanaan projek sedang diusahakan secara telus bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan.