Konflik Iran-Israel: Ada usaha-usaha cetus Perang Dunia Ketiga – Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya Perang Dunia Ketiga berikutan konflik bersenjata yang semakin memuncak antara Iran dan Israel.
Menerusi satu episod podcast terbaharu, Dr Mahathir berkata beliau memerhati dengan penuh kebimbangan akan usaha-usaha tersembunyi atau agenda masing-masing yang boleh membawa kepada perang global
“Saya khuatir ada usaha-usaha untuk mencetuskan perang dunia ketiga, sekarang ini UK umpamanya sudah adakan kilang senjata yang baru dan akan membina ‘attack submarine’ jadi mereka sudah bersedia untuk berperang.
“Saya masih ingat tahun 1929-1930-an, masa itu certia cerita nak ada perang memang ada, itu tindakan Jerman macam ini, tindakan British macam ini, mereka akhirnya akan berperang kerana orang Eropah bagi mereka adalah cara untuk menyelesaikan masalah tapi mereka juga sedar, perang tak selesaikan masalah.
“Sebab itu mereka mencadangkan United Nations (UN), ‘to put an end to the war’. Tapi mereka buat UN bagi kepada diri mereka, veto power, itu bukan UN, itu dictatorship of the powerful,” kata Tun M.
Apa yang boleh diharapkan, Tun M menyuarakan bahawa ini semua terletak pada keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang dilihat menjadi dalang kepada kekecohan yang berlaku sejak beberapa kebelakangan ini.
Beliau berharap agar Trump tidak sempat mencetuskan peperangan dalam tempohnya sebagai Presiden kerana niatnya yang tidak baik.
Terdahulu, media tempatan Iran melaporkan letupan kuat berlaku di timur Tehran malam tadi, berhampiran kawasan padat penduduk seperti Hakimiyeh dan Tehranpars.
Susulan itu, siren amaran dibunyikan di Tel Aviv menandakan kemungkinan serangan balas daripada pihak Israel.