
Kuala Lumpur, Julai 21 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyerbu gerai makanan di sebuah medan selera di Merlimau dan mendapati peniaga lelaki warga tempatan berdepan disyaki menjual minyak masak peket bersubsidi kepada warga asing.
Menurut Pengarah KPDN Melaka Norena Jaafar peniaga berusia lewat 50-an itu, ditahan ketika dalam operasi penyamaran yang dilakukan anggota penguat kuasa KPDN kira-kira jam 11 pagi semalam.
Hasil risikan dan penyamaran yang dilakukan sejak seminggu lalu, peniaga berkenaan didapati tidak menjual minyak peket bersubsidi satu kilogram kepada warga tempatan, sebaliknya hanya menjual kepada warga asing yang membuat tempahan awal.
“Siasatan awal mendapati pemilik premis perniagaan tempat suspek berniaga disyaki milik pasangan warga asing dan perbuatan itu bertujuan untuk membantu warga asing yang tinggal di kawasan berdekatan.
“Kita menemukan 23 peket minyak masak bersubsidi yang disorokkan di premis itu dan siasatan awal sumber bekalan minyak itu diperoleh masih dalam siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.Mengulas lanjut, Norena berkata kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan.