KPT kumpul RM1.7 juta bantu mangsa nahas bas UPSI

Sebanyak RM1.7 juta berjaya dikumpulkan melalui Tabung KPT Prihatin bagi membantu waris dan mangsa nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik baru-baru ini.
Dana tersebut merupakan hasil sumbangan kira-kira 40 institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta, termasuk politeknik dan kolej komuniti, serta beberapa agensi kerajaan negeri, institusi perbankan dan syarikat korporat.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, tabung khas itu mencerminkan semangat solidariti rakyat Malaysia dan menunjukkan keprihatinan semua pihak terhadap tragedi yang berlaku.
Daripada jumlah keseluruhan, RM371,000 telah disalurkan kepada pelajar dan waris yang terkesan, dan agihan akan diteruskan secara berperingkat oleh pihak UPSI selaku pengendali tabung.