Kubur Zara Qairina digali dalam masa terdekat oleh polis

Kubur Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan digali semula dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan kes kematian pelajar Tingkatan 1 itu.
Proses ini dibuat susulan arahan rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memerlukan prosedur bedah siasat dijalankan, selepas jenazah dikebumikan tanpa pemeriksaan forensik sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan tindakan itu akan dilaksanakan segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menerima arahan berkenaan.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I.
AGC dalam kenyataannya memaklumkan laporan awal PDRM dikembalikan dengan beberapa arahan tambahan, termasuk keperluan penggalian semula kubur bagi mendapatkan bukti yang mungkin penting untuk menentukan punca sebenar kematian.