
Kuala Lumpur, Okt 4 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menganjurkan Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI) 2024, pada 13 Oktober ini di Menara Kembar Bank Rakyat Kuala Lumpur.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ramanan Ramkrishnan, berkata ia adalah inisiatif yang pertama diadakan sejak lebih 100 tahun gerakan koperasi itu bertapak dalam negara dan pihaknya menyasarkan kehadiran 800 peserta terdiri daripada koperator komuniti India dan 22 pempamer merangkumi agensi di bawah Kementeriannya.
Ramanan turut menjelaskan bahawa inisiatif ini bertujuan meningkatkan pengetahuan koperator komuniti India berkaitan Dasar Koperasi Malaysia 2023, selain mengenal pasti isu tatakelola dalam pengurusan koperasi masyarakat India.
Beliau beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran logo PKKI 2024 di Kuala Lumpur hari ini, bersama Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fatah Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar.
Mengulas, ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, PKKI akan dijadikan platform kepada koperasi masyarakat india untuk mendapat pendedahan berkenaan inisiatif dan insentif disediakan KUSKOP menerusi SKM.