KWSP fokus bina semula simpanan selepas RM145 bilion dikeluarkan

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memberi tumpuan untuk membina semula simpanan pencarum selepas RM145 bilion dikeluarkan melalui empat skim khas ketika pandemik Covid-19, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Seramai 8.2 juta pencarum membuat pengeluaran melalui i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas. Menurutnya, kerajaan tidak bercadang memperkenalkan skim pengeluaran baharu selepas struktur akaun KWSP disusun semula kepada Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3, di mana Akaun 3 lebih fleksibel untuk kecemasan.
Beliau berkata, KWSP turut meneliti cadangan skim bayaran pencen bulanan untuk ahli baharu yang dijangka diluluskan dalam beberapa tahun akan datang, dengan pilihan kepada pencarum sedia ada untuk menyertai.