Langgar pemandu trak tunda, pasangan warga emas ditahan polis

Sepasang suami isteri warga emas, berusia 73 dan 65 tahun, ditahan pada malam Ahad bagi membantu siasatan kes langgar lari yang berlaku di Bandar Teknologi Kajang pada 28 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pasangan itu ditahan di sekitar Kajang pada 11.15 malam tadi susulan laporan polis yang diterima daripada ibu mangsa langgar lari tersebut semalam.
Mangsa, seorang lelaki berusia 42 tahun kini menerima rawatan selepas dilaporkan cedera dan tidak dapat bergerak susulan dilanggar sebuah kereta jenis Mazda CX-5 berwarna hitam.
Hasil siasatan mendapati terdapat satu video kamera papan pemuka berjaya merakamkan kejadian tersebut yang mana ia turut tular di media sosial.
Rakaman video itu memaparkan mangsa turun dari trak tunda dan cuba menahan kereta berwarna hitam dipercayai dipandu warga emas berkenaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.