Lapangan Terbang Changi kembali rampas takhta Lapangan Terbang Terbaik Dunia

Lapangan Terbang Changi merampas semula gelaran Lapangan Terbang Terbaik Dunia 2025 selepas berada di belakang Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha tahun lepas.
Ini merupakan kali ke-13 Changi meraih gelaran tertinggi itu daripada Skytrax, syarikat yang menganjurkan anugerah berprestij tersebut setiap tahun.
Tahun ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad menduduki tempat kedua, diikuti Lapangan Terbang Tokyo Haneda di tempat ketiga.
Selain anugerah utama, Changi turut menyapu bersih beberapa kategori lain termasuk Tempat Makan Terbaik Dunia di Lapangan Terbang, Tandas Lapangan Terbang Terbaik Dunia serta Lapangan Terbang Terbaik Asia.
Menurut Skytrax, anugerah tahun ini berdasarkan soal selidik yang melibatkan lebih 100 kewarganegaraan dari Ogos 2024 hingga Februari 2025, melibatkan lebih 575 lapangan terbang seluruh dunia.