Larangan pengambilan minuman keras di Pantai Port Dickson cetus pelbagai reaksi

Larangan pengambilan minuman keras di kawasan awam termasuk pantai Port Dickson yang diumumkan kerajaan Negeri Sembilan mendapat pelbagai reaksi.
Memetik daripada laporan The Star, Presiden National Indian Crime Prevention Society, Datuk Ignatius Lourdsamy menyokong penuh langkah ini dengan alasan ia penting demi keselamatan awam dan kesejahteraan komuniti.
Beliau memandang serius laporan gangguan serta tingkah laku tidak wajar akibat pengaruh alkohol yang sering melibatkan kanak-kanak dan warga emas.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng pula berpendapat larangan tersebut bertentangan dengan semangat kepelbagaian negara dan boleh menjejaskan kemasukan pelancong asing, lebih-lebih lagi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Larangan ini hanya melibatkan kawasan awam seperti pantai, taman, padang dan taman permainan dan tidak melibatkan premis persendirian seperti hotel, resort, kelab atau restoran.
Penguatkuasaan akan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dan polis, dengan pesalah boleh didenda sehingga RM2,000.