Lawatan Anwar ke Itali, Perancis dan Brazil guna penerbangan sewaan khas

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi rasmi akan menggunakan penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines bagi lawatan kerja ke Itali, Perancis dan Brazil.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira faktor penjimatan masa, kos yang lebih rendah berbanding operasi penuh pesawat kerajaan serta kemudahan menyelaras jadual padat ketiga-tiga negara tanpa transit panjang.
Langkah ini juga memastikan delegasi kerajaan dan perniagaan tiba serentak bagi menghadiri mesyuarat serta sesi libat urus penting.
Kerajaan hanya menanggung kos bagi delegasi rasmi, manakala wakil syarikat yang turut serta menanggung perbelanjaan sendiri.
Delegasi perniagaan ini melibatkan syarikat besar dan perusahaan Malaysia yang sudah beroperasi atau sedang meneroka peluang baharu di tiga negara berkenaan, termasuk Petronas, Khazanah, TNB, Maybank, FGV dan Weststar.