Lebih 100 pelajar sakit selepas makan hidangan dicemari bangkai ular

Lebih 100 pelajar di sebuah sekolah awam di Mokama, timur laut India dilaporkan jatuh sakit minggu lalu selepas dipercayai memakan makanan tengah hari yang tercemar dengan bangkai ular.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan India (NHRC) dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan insiden mengejutkan itu, yang berlaku di bawah program makanan percuma kerajaan India.
Menurut laporan media tempatan yang dipetik NHRC, seekor ular mati ditemui dalam makanan yang dimasak untuk kira-kira 500 pelajar.
Seorang tukang masak sekolah dilaporkan hanya membuang ular tersebut sebelum meneruskan pengagihan makanan kepada pelajar.
NHRC menyifatkan insiden itu sebagai pelanggaran serius hak asasi kanak-kanak dan menggesa pihak polis tempatan menyerahkan laporan penuh dalam tempoh dua minggu, termasuk status kesihatan pelajar yang terjejas.
Difahamkan, kejadian itu menimbulkan kemarahan penduduk setempat sehingga mereka bertindak menutup jalan sebagai bantahan terhadap kecuaian pihak sekolah.